Liga Super Masih Jadi Pentas Istimewa Buat Pemain
MakanBola
Johor Southern TIgers

Beberapa bekas pemain Liga Super mengakui rindu beraksi di liga berkenaan.

Salah seorang yang berpandangan sedemikian ialah bekas pemain Perak FC, Shivan Pillay. Shivan yang kini mewakili UM Damansara mengakui Liga Super berada pada tahap berbeza.

Ini kerana setiap pasukan bukan saja perlu memiliki kematangan taktikal yang tinggi. Malah, para pemain juga perlu bersedia dengan tempo permainan yang lebih pantas.

“Dari segi intensiti, Liga Super lebih pantas dan lebih maju dari segi taktikal. Pasukan tahu bila nak tingkatkan tempo dan bila nak perlahankan permainan.

“Liga Super tetap memberikan cabaran yang lebih besar, khususnya dari segi kematangan taktikal dan keperluan untuk kekal fokus sepanjang perlawanan.

“Boleh dikatakan setiap perlawanan di Liga Super lebih sukar dijangka kerana tahap taktikal pasukan lebih tinggi dan memerlukan tumpuan penuh,” katanya.

Pandangan beliau turut dipersetujui bekas pemain Terengganu FC, Aqil Irfanuddin Mohd Sabri. Meskipun kini beraksi bersama Kedah FA, Aqil rindu beraksi dalam saingan Liga Super.

Malah, beliau mahu menggunakan saingan Liga A1 sebagai pentas untuk menambat kelab-kelab Liga Super mendapatkan khidmatnya.

“Semestinya kalau ada peluang, saya nak kembali ke Liga Super dan sekarang saya kena gunakan peluang untuk dapatkan minit permainan supaya kelab di Liga Super akan kembali lihat potensi saya,” ujarnya.

Bagi pemain yang pernah beraksi di Liga Super, ia sudah tentu membuktikan bahawa liga itu adalah penanda aras utama dari segi kualiti dan daya saing.