Kedudukan Kedah FA dalam carta Liga A1 Semi Pro secara tiba-tiba berjaya memintas Johor Darul Ta’zim (JDT) II.
Kedah FA di bawah kendalian Victor Andrag pada musim ini tampil cukup konsisten apabila merekodkan 5 kemenangan selain hanya tewas sekali dalam 6 aksi terakhir diharungi di Liga A1 Semi-Pro.
Persembahan positif yang dibawa oleh Kedah FA ini berjaya meletakkan mereka dalam kelompok pasukan terbaik dalam carta kedudukan Liga A1 Semi-Pro bersama Selangor Ii, JDT II dan Perak FA.
Kemenangan 4-1 ke atas jiran setempat, Kedah Darul Aman pada Jumaat lalu turut membantu Kedah FA mengukuhkan tempat di posisi ke-3 dengan mengutip 47 mata, satu mata di belakang JDT II.
Walau bagaimanapun, makluman daripada Amateur Football League (AFL) berhubung penarikan diri Machan FC secara tidak langsung memberi kesan kepada kedudukan carta Liga A1 Semi Pro.
AFL dalam sebuah kenyataan memaklumkan bahawa semua keputusan perlawanan melibatkan Machan FC sebelum ini dibatalkan serta dianggap tidak sah, termasuk kutipan mata dan jaringan gol.
Keputusan itu menyaksikan perubahan dalam carta Liga A1 Semi-Pro ketika ini apabila Kedah FA kini menghuni tangga kedua, memintas JDT yang kekurangan tiga aksi berbanding skuad Lang Merah.
Kedudukan teratas ketika ini masih dipegang oleh Selangor II dengan 46 mata selepas 21 perlawanan, diekori rapat Kedah FA yang mengumpul 44 mata, setelah beraksi 22 kali musim ini.
JDT II pula berada di tangga ketiga dengan meraih 42 mata, hasil 13 kemenangan, tiga kali seri dan tiga kekalahan selain masih memiliki baki 3 perlawanan di dalam tangan buat masa ini.
Carta ini masiih boleh berubah apabila JDT II bakal berdepan MUFT di Shah Alam pada petang Ahad manakala Selangor II pula berkunjung ke Kota Bharu untuk bertemu Kelantan WTS pada Isnin.