Johor Darul Ta’zim (JDT) diikat pasukan Terengganu dengan keputusan 1-1 dalam aksi minggu ke-22 Liga Super musim ini di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu.
Pasukan tuan rumah, JDT menurunkan Syihan Hazmi di bahagian penjaga gol dan Bergson mengemudi jentera serangan pasukan Harimau Selatan.
Sementara itu, Terengganu membariskan Rahadiazli Rahalim di benteng terakhir dan Careca sebagai ayam tambatan manakala Shahrul Nizam menggalas lilitan kapten.
Harimau Selatan tidak menunggu lama untuk membuka akaun jaringan perlawanan pada minit ke-23 menerusi penyerang berbisa pasukan tersebut, Bergson da Silva.
JDT terus meningkatkan serangan untuk mencari gol tambahan bagi menjarakkan kedudukan dengan pasukan Sang Penyu.
Terengganu turut melakukan beberapa percubaan berbahaya ke arah gawang JDT menerusi Careca namun segala percubaan tersasar.
Sang Penyu berjaya meledak gol penyamaan perlawanan hasil oleh Ehsoni Panshanbe pada minit ke-36. Jaringan tersebut sekali gus menutup separuh masa pertama dengan keputusan terikat seri 1-1 bagi kedua-dua pasukan.
Bersambung babak kedua, kedua-dua kelab terus meningkatkan intensiti aksi bagi memperoleh gol seterusnya dalam aksi ini.
JDT dilihat melancarkan beberapa serangan berbahaya pada awal babak kedua menerusi Bergson da Silva & Syahmi Safari namun masih gagal menembusi gawang Terengganu yang dikawal ketat oleh Rahadiazli Rahalim.
Ajdin Mujagic dimasukkan pada 15 minit terakhir menggantikan Bergson da Silva bagi menambah kekuatan pasukan JDT di bahagian serangan.
Memasuki minit ke-80, kedudukan masih terikat seri 1-1 bagi kedua-dua pasukan meskipun Harimau Selatan terus menerus mengasak kubu pasukan Sang Penyu.
Sang Penyu hampir meledak gol kedua aksi pada penghujung separuh masa kedua menerusi satu gerakan balas namun rembatan tersebut gagal menepati sasaran gawang Harimau Selatan.
Aksi tamat dengan keputusan terikat 1-1 bagi kedua-dua pasukan dalam perlawanan ke-22 saingan Liga Super musim ini di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu.