Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC lega atas sebab berbeza bila meraih kemenangan dalam aksi terbaru Liga Super.
Terengganu akhirnya menghela nafas lega kerana dapat menamatkan kemarau lapan perlawanan tanpa kemenangan dengan menewaskan Penang FC 1-0.
Kali terakhir Terengganu meraih kemenangan ialah aksi liga menentang KL City FC di Cheras pada 10 Ogos lalu. Safawi Rasid dan Manuel Ott mencipta nama sebagai penjaring dalam aksi berkenaan.
Bek tengah muda Peteh, Ubaidullah Shamsul Fazili menceriakan penyokong di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) dengan menanduk bola melepasi Shafiq Afifi Suhaimi.
Kemenangan ini juga merupakan kemenangan pertama buat pemangku jurulatih Peteh, Badrul Afzan Razali selepas menggantikan jurulatih Croatia, Tomislav Steinbruckner.
Sementara itu, JDT terus melebarkan kelebihan di puncak Liga Super kepada 11 mata. Ini selepas Harimau Selatan meraih kemenangan selesa 4-0 ke atas Negeri Sembilan FC.
Dua gol bekas penyerang Bangkok United, Heberty Fernandes pada separuh masa pertama memberi kelebihan kepada anak buah Hector Bidoglio itu.
Pemain sayap kebangsaan, Arif Aiman Hanapi dan Jorge Obregon menyumbat gol tambahan untuk memastikan tiga mata milik JDT.
Keputusan ini menyaksikan Harimau Selatan kekal tanpa kalah dalam 73 perlawanan liga. Kali terakhir JDT tewas dalam liga ialah aksi liga menentang Terengganu pada 24 April 2021.
Gol pemain sayap, Hakimi Abdullah memastikan Terengganu membawa pulang tiga mata penuh dari Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
Kemenangan ini bakal menyuntik semangat JDT bila turun menentang Ulsan HD dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) pada 5 November ini.