Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz mengakui kecewa apabila pasukannya diikat 1-1 dengan Terengganu FC dalam aksi terbaru Liga Super.
JDT turun menghadapi Peteh dengan misi mengekalkan rekod kemenangan 100% dalam liga musim ini.
Rekod baik di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) dan Terengganu tempang tanpa ramai tonggak menjadikan JDT pasukan pilihan untuk meraih kemenangan.
Pada awalnya, JDT mendahului menerusi Bergson da Silva. Walau bagaimanapun, Terengganu mencipta kejutan dengan menyamakan kedudukan menerusi Ehson Panjshanbe.
Kecemerlangan barisan pertahanan Terengganu terutama penjaga gol, Rahadiazli Rahalim memastikan keputusan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Munoz melihat keputusan perlawanan ini sebagai satu pengajaran berguna buat JDT untuk tampil lebih baik selepas ini.
“Benar, kita ada banyak peluang untuk memenangi peluang ini dan hari ini bukan (permainan) terbaik JDT.
“Kita kena belajar, kita kena tambah baik, kita kena rendah hati dalam sesetengah situasi dan kita perlu fikir (perlawanan) yang berikutnya,” katanya selepas perlawanan.
Selepas ini, JDT mengalihkan fokus kepada pusingan suku akhir Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE). Pasukan itu akan bertemu sama ada Al-Duhail atau juara bertahan, Al-Ahli sebagai lawan di pusingan berkenaan.