Lubnan menghantar barisan terkuat mereka menjelang Pestabola Merdeka 2024 yang berlangsung pada September ini.
Pasukan Asia Barat itu bakal berentap dengan tuan rumah Malaysia, juara bertahan Tajikistan dan satu lagi pasukan Asia Tenggara, Filipina.
Pestabola Merdeka 2024 dilihat medan persiapan awal buat anak buah Miodrag Radulovic sebelum mengharungi pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 yang bakal berlangsung pada 2025.
Atas sebab itu, jurulatih Montenegro itu menyenaraikan barisan 24 pemain Lubnan untuk menghadapi kejohanan berprestij berkenaan. Senarai pemain berkenaan diumumkan Persatuan Bola Sepak Lubnan (LFA) pada 27 Ogos lalu.
Pemain-pemain senior seperti kapten Mohamad Haidar, Rabih Ataya, Mehdi Khalil dan Kassem El Zein terus diberi kepercayaan Radulovic sebagai teras pasukan.
Bekas jurulatih Dynamo Moscow itu turut menyuntik tenaga muda dalam skuad senior The Cedars. Antara nama yang dipanggil Radulovic ialah Mohamad Baker El Housseini, Mohammad Safwan dan Leonardo Farah Shahin.
17 pemain yang dipanggil Radulovic beraksi dalam saingan liga domestik Lubnan. Manakala tujuh lagi beraksi di luar Lubnan termasuk Farah Shahin (Falkenberg), Majed Osman (Persik Kediri) dan Omar Chaaban (AFC Wimbledon).
The Cedars bakal membuka kempen Pestabola Merdeka 2024 dengan menentang Tajikistan pada 4 September ini.