Penyerang muda negara, Luqman Hakim Samsudin kini memperoleh minit permainan bersama pasukannya apabila diturunkan selama 74 minit baru-baru ini.
Pemain berusia 20 tahun ini mendapat kepercayaan ketua jurulatih bawah 23 tahun kelabnya, KV Kortrijk apabila berada dalam kesebelasan utama pasukan ketika menentang RWD Molenbeek.
Luqman diletakkan di barisan serangan pasukan untuk bergandingan dengan Douglas dalam perlawanan Pro League bawah 21 tahun.
Beliau yang merupakan penyerang pasukan kebangsaan memanfaatkan sepenuhnya peluang yang diberikan dengan mempamerkan persembahan yang amat meyakinkan.
Aksi Luqman ini juga merupakan usahanya untuk menambat hati jurulatih pasukan, Stefaan Deloose agar diberi peluang dengan lebih kerap bersama pasukan utama.
Walaupun beliau tidak dapat beraksi penuh setelah digantikan dengan Jules Desot, namun minit permainan yang diperolehinya amat berharga untuk memberi keyakinan terhadap mutu permainannya.
Sebelum ini,beliau juga dilaporkan telah mendapatkan khidmat jurulatih tambahan bagi memastikan perestasinya kekal berada pada tahap yang sepatutnya bagi menembusi skuad senio KV Kortrijk.
Bukan itu sahaja, Luqman terus mendapat kepercayaan barisan kejurulatihan baharu Harimau Malaya apabila beliau kekal berada dalam senarai 30 orang pemain yang dibawa ke Singapura kelak.
Beliau dipilih bersama-sama dua orang penyerang berpengalaman, Darren Lok dan juga Syafiq Ahmad bagi mengisi posisi penyerang Harimau Malaya.
Peluang memperoleh aksi kompetitif ini sememangnya bakal memberi keyakinan yang lebih tinggi buat Luqman untuk terus mencetak nama selaku penyerang prolifik negara.