Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia bakal membuka pentas Petronas Malaysia Open 2025 berdepan pemain dari Chinese Taipei, Su Li Yang.
Setelah mengharungi musim 2024 dengan cemerlang, Zii Jia bakal kembali ke gelanggang untuk kejohanan pembuka tirai tahun 2025 dengan Malaysia Open menjadi aksi awal musim ini.
Lee Zii Jia dan seorang lagi pemain, Leong Jun Hao bakal menggalas peranan penting dalam membawa cabaran sektor perseorangan lelaki negara di Axiata Arena, Bukit Jalil itu nanti.
Menerusi senarai undian yang dikeluarkan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada Selasa menyaksikan Zii Jia bakal bertemu pemain Chinese Taipei Su Li Yang di pusingan pertama.
Untuk rekod, Zii Jia mencatatkan kemenangan dalam kedua-dua aksi menentang Su Li Yang sebelum ini dengan kali terakhir mereka bertemu ketika di Kumamoto Masters 2024.
Manakala tugas berat menanti Leong Jun Hao apabila bakal berdepan ujian hebat jaguh China di ranking ke-13 dunia, Lu Guang Zu seawal pusingan pertama lagi.
Saingan Malaysia Open 2025 bakal membuka tirai pada 7 Januari hadapan di Axiata Arena, Bukit Jalil dengan 17 wakil negara bakal bertempur merebut gelaran juara.