Malaysia vs Vietnam, Rekod Pertemuan & Prestasi Semasa
MakanBola
FA Malaysia

Aksi kedua kelayakan Piala Asia 2027 antara Malaysia dan Vietnam pada 10 Jun ini dijangka menarik perhatian peminat bola sepak Asia Tenggara.

Ini kerana Harimau Malaya diperkuatkan dengan kehadiran beberapa tonggak baharu yang berpangkalan di luar negara. Antaranya ialah Rodrigo Holgado dan Facundo Garces.

Vietnam yang turun selaku juara ASEAN Championship 2024 pula memiliki tonggak baharu berdarah Perancis iaitu Jason Pendant Quang Vinh.

Meskipun begitu, Vietnam dilihat tempang tanpa beberapa tonggak di bahagian serangan. Antara pemain yang terpaksa disisihkan Kim Sang-sik ialah Nguyen Cong Phuong, Bui Vi Hao, Nguyen Xuan Son dan Nguyen Van Toan.

Skuad negara berharap dapat menamatkan kemarau kemenangan ke atas Pahlawan Bintang Emas. Ini kerana Vietnam menewaskan skuad negara dalam lima aksi terakhir.

Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu ialah aksi peringkat kumpulan ASEAN Championship 2022. Aksi pada 27 Disember 2022 itu berkesudahan dengan kemenangan 3-0 buat Vietnam.

Aksi tersebut turut diselubungi kontroversi apabila bek kanan, Azam Azmi Murad dilayangkan kad merah. Ini selepas beliau didakwa mengasari Doan Van Hau di luar padang.

Menariknya, aksi ini akan menemukan beberapa pemain yang pernah beraksi dalam perlawanan tersebut. Antara pemain Malaysia yang beraksi pada ketika itu ialah Faisal Halim, Syihan Hazmi Mohamed dan Safawi Rasid.

Pemain-pemain Vietnam berpengalaman seperti Nguyen Hoang Duc, Nguyen Tien Linh, Pham Tuan Hai dan Nguyen Quang Hai turut beraksi dalam perlawanan sama.

Malaysia berharap dapat meraih kemenangan pertama ke atas Pahlawan Bintang Emas sejak 2014. Tahun itu menyaksikan Harimau Malaya menyingkirkan Vietnam di peringkat separuh akhir ASEAN Championship secara agregat.

Selepas tewas 2-1 dalam aksi separuh akhir pertama, skuad negara yang ketika itu dibimbing Dato’ Dollah Salleh membelasah Vietnam 4-2 di Stadium Nasional My Dinh.

Prestasi semasa menyaksikan Pahlawan Bintang Emas masih belum tewas dalam 10 perlawanan terakhir mereka. Ini termasuk kemenangan 5-0 ke atas Laos pada Mac lalu.

Harimau Malaya pula masih belum tewas dalam dua perlawanan sejak dibimbing jurulatih Australia, Peter Cklamovski. Ini termasuk aksi di mana Malaysia mengikat Cape Verde 1-1.