DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor menganggap memang mudah sekiranya semua beban mahu diletakkan atas bahu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Baginda baru-baru ini memberikan khabar gembira kepada penyokong Harimau Malaya selepas mengesahkan berlakunya usaha untuk mengenal pasti pemain warisan yang berpotensi mewakili negara.
“Kami telah mengenal pasti 6-7 pemain warisan untuk pasukan Harimau Malaya. Diharapkan kerajaan Malaysia dapat membantu dalam proses mendapatkan pasport Malaysia.
“Ini agar mereka dapat bermain untuk Harimau Malaya pada kelayakan Piala Asia 2027 mulai bulan Mac ini. Mustahak Harimau Malaya memulakan kempen kelayakan dengan keputusan yang positif,” ujar DYAM Tunku Ismail di laman X.
DYAM Tunku Ismail juga melihat kemajuan pembangunan bola sepak Malaysia juga perlu berjalan seiring menerusi inisiatif daripada pihak kelab.
“Pembangunan bakat muda adalah tanggungjawab kelab dan bukannya FAM. Apa yang perlu dilakukan oleh MFL dan FAM adakah mewujudkan pertandingan bagi peringkat akar umbi.
Baginda juga tidak mahu segala kesalahan diletakkan pada FAM sambil kelab-kelab di Malaysia hanya berlepas tangan.
“Kedua, kelab di Malaysia juga perlu ada pusat latihan yang terbaik. Memang senang nak salahkan FAM tetapi hari kita mula menyalahkan diri sendiri, bola sepak Malaysia akan berubah.
“Kelab mesti bertanggungjawab untuk meningkatkan standard tersebut,” tambahnya di laman X.
Persiapan skuad kebangsaan terarah kepada aksi Kelayakan Piala Asia 2027 yang bakal membuka tirai pada 25 Mac berdepan pasukan ke-175 dunia, Nepal.