Malaysian Football League (MFL) melancarkan kempen bagi membanteras penyalahgunaan dadah dan budaya gangsterisme dalam komuniti bola sepak.
Hal ini disuarakan selepas insiden yang melibatkan penyokong tegar Selangor FC atau lebih dikenali Ultras Selangor (UltraSel) ketika aksi antara The Red Giants menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Ahad.
Kejadian itu berlaku pada petang Ahad sebelum aksi antara kedua-dua kelab berlangsung. Kumpulan UltraSel dilihat mengadakan perarakan di atas Jambatan Angkat Kuala Terengganu (Drawbridge), sekali gus mengganggu ketenteraman pengguna jalan raya.
Selepas itu, seramai 412 ahli Ultras Selangor telah ditahan pihak berkuasa pada 1 Februari lalu. Penahanan berlaku selepas mereka berarak dari Kuala Terengganu ke Seberang Takir sebelum perlawanan, sambil membawa bendera dan menyalakan suar.
Susulan kejadian itu, 33 penyokong dibawa ke Mahkamah Majistret pada Isnin bagi perintah reman. Daripada jumlah tersebut, 24 individu didapati positif dadah, manakala tiga lagi dikesan memiliki ganja dan Eramin 5.
Menurut MFL, badan pengelola itu memandang serius sebarang gejala negatif, termasuk penyalahgunaan dadah, dan kempen ini bertujuan meningkatkan kesedaran semua pihak, khususnya para penyokong.
“Malaysian Football League (MFL) memandang serius sebarang gejala negatif termasuk penyalahgunaan dadah, keganasan serta aktiviti gangsterisme yang boleh menjejaskan imej dan integriti bola sepak tempatan.”
“Justeru itu, MFL ingin melancarkan satu kempen Anti Dadah dan Anti Gangsterisme secara menyeluruh melibatkan pertandingan-pertandingan di bawah kelolaan MFL sebagai usaha membendung dan memberi pendidikan kepada komuniti bola sepak.”
“Kempen ini bertujuan meningkatkan kesedaran kepada semua pihak khususnya penyokong-penyokong agar tidak terjerumus dengan gejala dadah, keganasan atau gangsterisme yang sememangnya amat bertentangan dengan semangat kesukanan serta nilai-nilai murni yang ingin diterapkan dalam sukan bola sepak.”
“Malaysian Football League juga akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dan agensi berkaitan bagi memastikan Liga Malaysia terus berkembang dengan persekitaran yang positif, selamat dan berintegriti,” kata MFL dalam satu kenyataan di laman media sosial.