Malaysian Football League (MFL) bakal memantau lebih dekat pasukan Lembah Klang, Kuala Lumpur City FC (KL City FC).
Ini selepas bekas juara Piala Malaysia 2021 itu didapati masih memiliki tunggakan gaji kepada pekerja dan tunggakan kepada agensi-agensi kerajaan berkaitan.
Ini berdasarkan keputusan Mesyuarat Ringkasan Penyerahan dokumentasi “In-Season” Kelima oleh First Instance Body (FIB) pada 10 Jun lalu.
Susulan itu, FIB memaklumkan KL City akan dipantau rapi bagi memastikan pengurusan kelab melaksanakan langkah-langkah penyelesaian yang sewajarnya.
KL City turut diberi tempoh 14 hari oleh FIB untuk mengemukakan bukti pembayaran atau pelan penyelesaian berhubung tunggakan setakat April 2026.
Susulan itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Syed Yazid Syed Omar memaklumkan pasukan itu berusaha menyelesaikan isu yang dinyatakan oleh FIB. Ini kerana ini berkaitan dengan sekatan perpindahan KL City.
Justeru, Syed Yazid berharap dapat menyelesaikan semua isu itu sebelum 15 Julai ini. Ini sekaligus memudahkan KL City mendaftarkan pemain baharu untuk musim 2026/27.
“Kita diberi (tempoh) sehingga 15 Julai untuk sekatan perpindahan ini. Satu sekatan perpindahan FIFA, satu sekatan perpindahan FAM.
“Jadi kita kena jelaskanlah. Kalau tidak kita tak boleh daftar pemain baru,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
Syed Yazid ditemui selepas menghadiri Kongres Luar Biasa (EGM) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) baru-baru ini.
Sebelum ini, enam kelab Liga Super termasuk juara liga, Johor Darul Ta’zim (JDT) telah memenuhi keperluan pematuhan Peraturan Fair Play Kewangan (FFP) MFL.
Ini kerana kelab-kelab ini tidak mempunyai tunggakan gaji dan tunggakan dengan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan.