Menjelang perlawanan akhir kedua Challenge Cup, Malaysian Football League (MFL) telah memenuhi satu permintaan oleh pasukan PDRM.
Menerusi kenyataan rasmi pada Selasa, MFL memaklumkan bahawa pasukan PDRM FC yang bakal menjadi tuan rumah telah mengemukan permohonan untuk menukar venue aksi final kedua Challenge Cup.
Hal ini disebabkan oleh Stadium MBPJ yang juga gelanggang pihak lawan, Selangor FC telah memenuhi kriteria dan juga piawaian untuk mengendalikan perlawanan akhir tersebut.
Oleh itu, MFL telah bersetuju untuk meluluskan permintaan tersebut sekaligus mengesahkan perlawanan akhir kedua MFL Challenge Cup akan berlangsung di Stadium MBPJ pada 22 Februari ini.
“MFL telah meluluskan permohonan PDRM FC mengadakan Perlawanan Akhir 2 MFL Challenge Cup 2024-2025 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling jaya (MBPJ) pada 22 Februari ini (Sabtu),” umum badan pengelola liga itu.
“PDRM FC selaku pasukan tuan rumah telah mengemukakan permohonan pertukaran venue itu kerana Stadium MBPJ telah memenuhi kriteria dan piawaian venue perlawanan akhir.”
Aksi final kedua antara PDRM vs Selangor ini bakal menjadi tumpuan oleh kerana The Cops selaku juara bertahan perlu mencatat kemenangan setelah tewas 2-3 dalam perlawanan pertama lalu.
Pada aksi pertama tersebut, dua gol daripada Alvin Fortes dan satu jaringan oleh Ali Olwan memastikan kemenangan buat Selangor meski PDRM cuba bangkit hasil dua gol oleh Shahrel Fikri dan Badrul Affendy.