MFL Puji Tindakan Pantas FAM Gantung Pengadil
MakanBola
MFL

Tindakan pantas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menggantung pengadil Zulkarnain Zakaria mendapat pujian Malaysian Football League (MFL). Ini kerana ini menunjukkan FAM amat serius dalam soal menjaga kualiti pengadilan Liga Malaysia (Liga M).

Semalam, Zulkarnain dikenakan penggantungan oleh Jawatankuasa Pengadilan FAM susulan dua penalti kontroversi yang dianugerahkannya dalam perlawanan Sabah-Penang. Perlawanan tersebut berakhir dengan kemenangan 5-2 buat anak-anak buah Ong Kim Swee.

Ad

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Stuart Ramalingam menyifatkan tindakan tersebut sekurang-kurangnya dapat meredakan kontroversi yang tercetus. Selain itu, ia memastikan perdebatan tentang kontroversi tersebut tidak berlanjutan sehingga menjejaskan kemeriahan Liga M.

Ad

“Pengadil sentiasa menjadi topik hangat di Malaysia. Jika penyerang terlepas peluang, mereka boleh ambil peluang itu pada perlawanan seterusnya tetapi bagi pengadil, tidak boleh berlaku kesilapan.

“Jadi FAM mengambil serius perkara ini dan MFL selalu berunding dengan FAM bagi memastikan kendalian perlawanan berlaku dengan kredibiliti dan sempurna seperti dimahukan komuniti bola sepak.

Ad

“Tindakan FAM itu adalah langkah proaktif sebelum apa apa laporan ataupun aduan daripada pasukan dikeluarkan. Kerjasama daripada FAM untuk menambah baik pengadil juga amat baik,” katanya kepada media selepas majlis pengumuman penajaan minyak masak Alif sebagai penaja MFL untuk tahun kedua berturut-turut.

Ad

Dengan liga ketika ini berehat berikutan kalendar perlawanan antarabangsa, ia dilihat peluang terbaik bagi memantapkan kualiti pengadilan liga. Stuart melihat peluang ini patut dimanfaatkan bagi memastikan kesilapan sama tidak berulang.

Ad

“Kami harap ini dapat mengurangkan (isu pengadilan), ia tidak boleh dihilangkan kerana akan ada pasukan yang tewas dan kemudiannya pengadil terus mencuri tumpuan atas insiden yang berlaku.

“Saya percaya penyokong kita sedar dan terdidik mengenai apa yang silap dan apa yang tidak silap. Kita akan bekerjasama dengan FAM untuk menambah baik perkara ini,” tambahnya.