Malaysian Football League (MFL) menyeru semua kelab Liga Malaysia memantau tingkah laku penyokong-penyokong.
Hal ini disuarakan selepas insiden yang melibatkan penyokong tegar Selangor FC atau lebih dikenali Ultras Selangor (UltraSel) ketika aksi antara The Red Giants menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Ahad.
Kejadian itu berlaku pada petang Ahad sebelum aksi antara kedua-dua kelab berlangsung. Kumpulan UltraSel dilihat mengadakan perarakan di atas Jambatan Angkat Kuala Terengganu (Drawbridge), sekali gus mengganggu ketenteraman pengguna jalan raya.
Menurut MFL, badan pengelola itu menolak setegar-tegarnya kejadian yang berlaku di Terengganu tersebut dan insiden tersebut boleh menjejaskan nama baik liga tempatan.
“Malaysian Football League (MFL) menolak sekeras-kerasnya sebarang unsur negatif dan tindakan tidak bertanggungjawab oleh segelintir penyokong bola sepak tempatan.”
“Susulan satu insiden yang berlaku di Terengganu, MFL menyeru agar semua kelab dapat memantau serta mengawal tingkah laku penyokong masing-masing supaya tidak mencetuskan sebarang gangguan terhadap ketenteraman dan keselamatan awam.”
“Sikap serta perilaku seumpama ini oleh segelintir penyokong boleh memberikan imej tidak baik kepada bola sepak tempatan yang seharusnya dilihat sebagai platform penyatuan dan semangat kesukanan,” kata MFL dalam satu kenyataan.