Tarikh dan venue perlawanan akhir Piala Malaysia antara Johor Darul Ta’zim (JDT vs Sri Pahang telah diumumkan oleh pihak Malaysian Football League (MFL).
Menerusi satu kenyataan oleh pihak MFL pada Sabtu, aksi final Piala Malaysia dijadualkan berlangsung pada Sabtu, 12 April 2025 bertempat di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
“MFL mengumumkan Perlawanan Akhir Unifi Piala Malaysia 2024-2025 di antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sri Pahang FC bakal berlangsung pada 12 April 2025 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ),” umum badan pengelola liga itu.
Keputusan penetapan tarikh itu dibuat selepas mengambil kira kesesuaian kalendar Liga Malaysia 2024-2025 serta penglibatan JDT dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Elite (ACLE).
Ini selepas pasukan Harimau Selatan itu melangkah mara ke pusingan 16 terbaik dengan aksi timbal balik pada 4 Mac 2025 dan andai berjaya ke pusingan suku akhir, ia dijangka berlangsung pada 25 April 2025.
MFL turut melihat tarikh perlawanan akhir Unifi Piala Malaysia itu bakal memberi ruang buat JDT hadapi aksi pusingan kalah mati ACLE dengan persediaan lebih rapi untuk menyumbang mata dan meningkatkan kedudukan Malaysia dalam ranking kelab AFC.
Selain itu, antara faktor penting dalam pemilihan tarikh 12 April 2025 itu juga adalah ketersediaan venue SNBJ yang dilihat gelanggang paling sesuai untuk menyambut kehadiran ribuan penyokong kedua-dua pasukan itu nanti.
Aksi final Piala Malaysia 2024-2025 bakal menemukan juara bertahan, JDT v Sri Pahang sekaligus mengulangi pertemuan di perlawanan akhir pada edisi 2014 yang lalu.