Jaguh perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong bakal berdepan cabaran untuk kembali menyinar dalam arena badminton antarabangsa.
Ini selepas koresponden Shuttlehard, Akem Asyraf mendedahkan nama Tze Yong sudah tiada dalam senarai ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF) untuk acara perseorangan lelaki.
Beliau menjawab pertanyaan seorang peminat badminton tentang kemungkinan pemain berusia 26 tahun itu kembali ke gelanggang.
“Bukan akan, memang (markah ranking) sudah luput pun dan nama sudah tiada dalam ranking,” katanya di X.
Tze Yong tidak lagi bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas memilih menamatkan kontrak secara persetujuan bersama. Keputusan itu berkuatkuasa pada Isnin.
Susulan itu, Tze Yong akan mendapat bimbingan bekas pemain kebangsaan, Soong Joo Ven. Joo Ven yang kini bersama Next Level Badminton Academy turut memaklumkan proses pemulihan beliau akan dibantu barisan kejurulatihan akademi berkenaan.
Joo Ven percaya Tze Yong masih berpeluang menempa nama di pentas antarabangsa selagi mana anak jati Johor Bahru, Johor itu sabar dan pulih sepenuhnya daripada kecederaan.