Bekas penjaga gol kebangsaan, Azmin Azram Abd Aziz menasihati Rahadiazli Rahalim agar tampil lebih konsisten selepas ini.
Hal ini dinyatakan beliau apabila diminta mengulas prestasi cemerlang penjaga gol Terengganu FC itu ketika menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) baru-baru ini.
Rahadiazli memastikan Terengganu berjaya mencuri satu mata dengan mengikat JDT 1-1. Beliau tampil cemerlang dengan menyelamatkan beberapa percubaan merbahaya JDT ke arah gawang pasukan itu.
Azmin Azram percaya jika Rahadiazli mampu mengekalkan prestasi itu, beliau mampu membantu Peteh untuk tampil lebih mantap selepas ini.
“Kalau kita lihat dari data yang keluar ini, memang saya memberi pujian kepada Rahadi. Kerana beliau beraksi dengan baik.
“Sudah lama saya nak lihat Rahadi atau Abe kembali beraksi pada tahap tertinggi. Aksi menentang JDT ini membuktikan beliau masih relevan.
“Dan saya nasihatkan Abe untuk kekal konsisten dalam perlawanan-perlawanan akan datang,” katanya semasa menjadi panel program Astro Arena, XI Sebelas Utama.
Rahadiazli merekodkan 10 penampilan bersama Peteh musim ini dengan enam rekod tanpa bolos. Beliau juga hanya dibolosi sebanyak lima kali dalam semua kejohanan.