Negeri Sembilan Tak Bimbang Hilang Dua Permata Ke Seteru Utama
Dunia
Negeri Sembilan FC
Advertisements

Ramai penyokong Negeri Sembilan merasa gusar melihat pasukan tanpa dua tonggak utama, Khuzaimi Piee dan Syihan Hazmi untuk saingan Liga Malaysia musim depan. Ini selepas Khuzaimi sah menyertai Selangor dengan Syihan dikhabarkan bakal menyertai JDT. Tetapi bagi jurulatih K. Devan, mereka sudah mengenalpasti pengganti bersesuaian yang boleh mengisi kekosongan yang ditinggalkan kedua-duanya.

Walaupun akan ada perbandingan dengan Syihan dan Khuzaimi oleh para penyokong, Devan percaya pengganti yang dibawa masuk dapat memperkuatkan pasukan. Ini ditambah sebahagian besar pemain skuad Rusa musim ini dikekalkan sekaligus memastikan mereka dapat mengekalkan cabaran kepada pasukan-pasukan lain dalam liga musim depan.

“Sekurang-kurangnya 15 pemain daripada musim lalu dikekalkan, hanya sembilan sahaja dilepaskan dan buat masa ini, Herold Goulon sahaja yang pasti dikekalkan untuk pemain import. Kami telah tandatangani beberapa orang pemain tempatan yang berkualiti bagi hadapi musim 2023 bagi menggantikan pemain yang tidak lagi bersama pasukan.

Advertisements

“Mungkin untuk mendapatkan pengganti setanding Syihan, itu sesuatu yang tidak boleh dilakukan kerana dia kini penjaga gol nombor satu negara. Namun kami akan cuba mendapatkan penjaga gol yang tidak jauh kualitinya dengan Syihan, begitu juga pengganti Khuzaimi, kami masih dalam proses mencari pemain yang ada kaliber seperti dia,” katanya.

Ramai penyokong pasti berharap skuad Hoben Jang Hoben dapat mengulangi kecemerlangan musim ini. Tetapi Devan mengingatkan sebarang sasaran untuk dicapai musim hadapan perlu mengambil kira kekuatan pasukan lain. Pasukan-pasukan lain dari Selangor dan Terengganu hinggalah JDT juga mempunyai aspirasi tersendiri bila mendepani musim baru liga.

“Memang saya jangka penyokong-penyokong akan meletakkan harapan tinggi setelah apa yang kami capai pada musim lalu tetapi perlu diingat pasukan lain turut memperkuatkan cabaran masing-masing dan saya boleh letakkan sasaran selepas melihat senarai pemain yang dimiliki pasukan lain,” tambahnya.

Advertisements

Berstatus pendatang baru Liga Super musim 2022, skuad Rusa berjaya menamatkan cabaran liga di tempat keempat. Selain itu, Negeri Sembilan juga berjaya mara ke peringkat suku akhir Piala Malaysia.

Sementara itu, Devan turut menghela nafas lega apabila Liga Simpanan bakal diadakan pada tahun hadapan. Ini kerana ia dapat mengatasi masalah kekurangan pemain lebih-lebih lagi jika pasukan dihimpit masalah kecederaan atau penggantungan perlawanan. “Pemain yang berada pada usia 23 tahun sudah berada di tahap kematangan yang sesuai untuk diketengahkan ke dalam pasukan senior jika khidmat mereka diperlukan.

“Jadi, saya tidak nampak sebarang isu kekurangan pemain walaupun format musim depan berubah dengan adanya 16 pasukan dalam Liga Super yang menjadikan jadual pasti padat. Sekiranya kita berdepan masalah kehilangan pemain yang ramai, pemain-pemain 23 tahun ini boleh membantu pasukan,” ujarnya.

Advertisements
Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram