Jaguh perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong perlu berehat selama dua minggu selepas mengalami kecederaan di lutut kanan.
Sebelum ini, anak jati Johor Bahru itu mengalami kecederaan itu ketika menentang pemain Hong Kong, Angus Ng Ka Lok dalam aksi pusingan pertama Malaysia Masters 2025.
Tze Yong pada ketika itu meraih kemenangan set pertama dengan keputusan 22-20. Tatkala beliau mendahului pada kedudukan 4-3, bekas naib juara Arctic Open 2023 itu tidak dapat meneruskan perlawanan akibat kecederaan.
Apabila diminta mengulas kecederaan Tze Yong, Pengarah Kejurulatihan Perseorangan BAM, Kenneth Jonassen melihat kecederaan beliau itu tidak serius seperti disangka.
Pada masa sama, Tze Yong akan menjalani imbasan CT bagi mengetahui tahap kecederaan yang dialaminya.
Kini, BAM memaklumkan perseorangan lelaki negara itu menarik diri kerana merasa tidak selesa pada bahagian lutut kanannya. Susulan itu, Tze Yong didapati mengalami ketegangan di bahagian lutut dan perlu berehat selama dua minggu.
“Selepas menjalani pemeriksaan perubatan, beliau didiagnosis mengalami ketegangan di bahagian lutut dan perlu berehat sekurang-kurangnya dua minggu sebelum penilaian selanjutnya,” kata BAM dalam satu kenyataan.
Meskipun terpaksa menarik diri daripada saingan Malaysia Masters, Jonassen dilihat berpuas hati dengan kemajuan yang ditunjukkan Tze Yong.
Malah, bekas jaguh perseorangan lelaki Denmark itu percaya pemain berusia 25 tahun itu mampu kembali lebih garang selepas ini.