Pengendali Selangor, Nidzam Jamil meluahkan kekecewaan setelah melihat The Red Giants tumbang di tangan juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Ahad.
Pada aksi tersebut, dua jaringan daripada ayam tambatan JDT, Bergson Da Silva dan satu gol oleh Romel Morales berhasil membantu Harimau Selatan pulang dengan 3 mata berharga.
Menurut Nidzam, kekalahan di gelanggang sendiri ini sudah pasti tidak bagus buat pasukan dan banyak perkara yang masih perlu diperbaiki menjelang aksi seterusnya.
”Ya, keputusan ini tak bagus untuk Selangor, tewas 0-3 di laman sendiri dan ada beberapa perkaralah yang kita perlu tambah baik,” katanya ketika sesi sidang media.
Tambah beliau, perasaan tidak gembira semestinya timbul setelah melihat anak-anak buahnya kecundang dan mahukan kemenangan di aksi seterusnya menjadi budaya dalam pasukan.
”Kalah tetap kalah, kita kecewa dengan kekalahan, kalau kita gembira dengan kekalahan maksudnya ada sesuatu masalah dengan barisan kejurulatihan” tambah Nidzam lagi.
”Kita cuba untuk menang, kita nak jadikan (kemenangan) ini satu budaya buat kita tapi malangnya tak menjadi untuk hari ini dan kita akan bangkit semula.”
Keputusan di Kelana Jaya ini meletakkan jurang lapan mata di antara JDT di puncak liga dengan Selangor yang kini berada di tempat kedua dengan 26 mata selepas 13 perlawanan.
Saingan Liga Super minggu hadapan menyaksikan Selangor bakal berkunjung ke bumi Darul Aman untuk bertemu Kedah manakala JDT akan menentang Negeri Sembilan di Paroi.