Bekas penyerang Harimau Malaya, Nizaruddin Yusof berharap pemain-pemain baharu negara diberi masa dan ruang untuk menyesuaikan diri.
Sejak beberapa hari lalu, nama-nama beberapa pemain baharu Malaysia yang berpangkalan di luar negara menjadi bualan penyokong.
Antara nama yang menjadi bualan ialah Rodrigo Holgado, Facundo Garces dan Imanol Machuca. Selain mereka, nama lain seperti Jon Irazabal dan Joao Figueiredo juga dilaporkan akan menyertai kem kali ini.
Nizaruddin mengakui kehadiran pemain-pemain ini memberi suntikan kualiti yang besar kepada Harimau Malaya.
Pada masa sama, beliau melihat mereka juga perlu diberi masa dan ruang untuk menyesuaikan diri. Ini bagi membolehkan mereka lebih mudah beradaptasi terutama dengan perancangan taktikal jurulatih, Peter Cklamovski.
“Selalunya bagi pemain-pemain baru yang merasai budaya bola sepak kita, saya rasa perlu ambil masa juga,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
“Dari segi pengalaman sebagai pemain profesional, saya rasa itu tidak menjadi masalah. Kita sebenarnya berharap kalau pemilihan beliau membantu skuad kebangsaan, saya tak rasa itu jadi masalah.
“Cuma kita perlu beri masa sedikit untuk dia memahami pemain-pemain lain yang selalu berada dalam skuad kebangsaan, budaya bola sepak kita dan cara kita bermain.”
Kudrat tonggak baharu ini dijangka ditagih Cklamovski apabila Malaysia menentang Vietnam pada 10 Jun ini.