Penerjun wanita negara, Nur Dhabitah Sabri mengakhiri saingan Sukan Olimpik Paris dalam acara 3 meter papan anjal wanita di tangga ke-12
Setelah menduduki tangga ke-8 dalam pusingan separuh akhir pada Khamis, Dhabitah mengesahkan tempatnya dan dijadualkan turun bertanding dalam final 3 meter papan anjal pada Jumaat.
Pada terjunan pertama, Dhabitah bermula cukup baik dengan darjah kesukaran 3.0 untuk memperoleh 63.00 mata untuk berada di kedudukan ketiga.
Di terjunan kedua, 60.00 mata berjaya diraih oleh penerjun berusia 25 tahun ini dengan mengumpul 123.00 mata setelah dua terjunan.
Sedikit kesilapan di terjunan ketiga menyebabkan Dhabitah hanya memungut 37.50 mata sebelum satu lagi terjunan, 28.50 mata hanya berjaya diraih oleh wakil tunggal negara ini.
Di terjunan terakhir, Dhabitah memperoleh 55.80 mata untuk mengumpul 244.80 mata dan mengakhiri aksi di tangga ke-12 secara keseluruhan.
Untuk rekod pada edisi lalu Dhabitah menamatkan saingan dalam acara 3 meter papan anjal di tempat ke-4 sekaligus terlepas peluang untuk meraih sekurang-kurangnya pingat gangsa.