Padang latihan Terengganu FC bakal dilengkapi sistem lampu limpah untuk membantu pasukan itu berlatih pada waktu malam.
Perkembangan ini dikongsikan Exco Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim.
Hishamuddin yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) melihat sistem tersebut akan membantu pasukan itu berlatih terutama pada musim panas.
Beliau berkesempatan meninjau kerja-kerja pemasangan sistem lampu limpah di padang tersebut baru-baru ini.
Turut sama menyertai Hishamuddin dalam tinjauan tersebut ialah Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ahmad Shahrizal Yahaya dan Ketua Pegawai Operasi (COO) pasukan, Syahrizan Mohd. Zain.
“Usai merasmikan Kursus Kejurulatihan Kecergasan AFC Tahap 2A di Ar-Riyadah Residence kelmarin, saya bersama Pengarah MSNT dan Ketua Pegawai Operasi TFC menjenguk kerja-kerja pemasangan tiang lampu limpah di Padang C,” katanya di Facebook.
“Padang C merupakan padang latihan buat pasukan utama Terengganu FC. Usaha pemasangan lampu limpah ini dibuat secara dalaman untuk memastikan ruang latihan dapat dilaksanakan pada waktu malam khususnya waktu musim panas.
“Begitu juga untuk penggunaan di bulan Ramadhan. Untuk Ramadhan kali ini, belum dapat digunakan sepenuhnya.”
Selain padang latihan Terengganu, sistem sama juga akan dipasang di Padang Sintetik Kompleks Sukan Gong Badak.
“Sementara itu, lampu limpah juga akan dipasang di Padang Sintetik Kompleks Sukan Gong Badak untuk menghidupkan suasana aktiviti di kawasan kompleks sukan di waktu malam,” ujarnya.
Penaiktarafan terbaru ini dilihat usaha berterusan pengurusan Terengganu untuk memastikan pasukan itu kekal kompetitif di atas padang.
Peteh bakal berdepan Sri Pahang FC dalam aksi liga seterusnya pada 27 Februari ini.