Pasukan kebangsaan Palestin sudah memulakan langkah untuk menghadapi aksi pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026.
Skuad Palestin tiba di Malaysia pada 26 Ogos 2024 dan diberikan kemudahan latihan yang diuruskan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Latihan hari pertama dimulakan dengan begitu positif oleh kem Palestin yang bertempat di Stadium Cheras.
Skuad kendalian Makram Dabboub bagaimanapun masih belum lengkap sepenuhnya dengan beberapa pemain masih belum melaporkan diri.
Pemain Palestin juga memberikan respon positif dengan segala kemudahan yang disediakan bagi menghadapi Kelayakan Piala Dunia 2026 bermula September ini.
Palestin akan memulakan langkah berdepan Korea Selatan dan Jordan masing-masing pada 5 dan 10 September 2024.
Pertemuan Palestin dan Jordan akan berlangsung di Stadium Cheras, Kuala Lumpur pada 10 September 2024 dengan kedua-dua pasukan ini menjadi lawan Malaysia di Piala Asia 2023.
Palestin juga mencipta dua rekod baharu apabila berjaya mara ke pusingan kalah mati Piala Asia 2023 dan juga pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026.
Iraq, Oman dan Kuwait merupakan antara lawan lain dalam Kumpulan B yang diundi bersama Palestin, Jordan dan Korea Selatan.