Advertisement
Park Hang-seo Anggap Indonesia Lawan Yang Susah Buat Vietnam
Dunia
MakanBola
Liên đoàn Bóng đá Việt Nam – VFF

Selepas tamat kempen Kumpulan B Piala AFF 2022 semalam, Vietnam dan Malaysia bakal bersemuka dengan Indonesia dan Thailand di peringkat separuh akhir. Bagi jurulatih Pahlawan Bintang Emas, Park Hang-seo, Tim Garuda merupakan lawan sukar yang perlu diatasi jika mahu mara ke final.

Perlawanan separuh akhir timbal balik menyaksikan Vietnam bakal bertandang ke Stadium Gelora Bung Karno pada 6 Januari ini. Ini disusuli perlawanan separuh kedua di Stadium Nasional My Dinh pada 9 Januari.

Selepas melihat kemampuan Indonesia dalam Kumpulan A, Hang-seo memuji Tim Garuda dari segi taktikal dan teknikal.

“Indonesia tahun lalu telah mara ke final Piala AFF 2020. Kebelakangan ini, banyak perubahan yang dibuat mereka. Mereka memiliki ramai pemain naturalisasi yang bagus. Kekuatan fizikal, teknikal, dan taktikal mereka juga sangat bagus,” katanya dalam sidang media pasca-perlawanan Vietnam-Myanmar pada aksi terakhir Kumpulan B semalam.

“Ini memang perlawanan yang sukar. Kami perlu beraksi dalam perlawanan separuh akhir pertama sebagai pasukan pelawat dan berharap mendapat hasil yang baik,” tambahnya lagi.

Hang-seo mengakui dalam situasi perlawanan timbal balik, tekanan selalunya dialami oleh pasukan pelawat. Ini kerana pasukan tuan rumah akan mendapat sokongan padu penyokong setia mereka.

“Bila bermain sebagai pasukan pelawat, akan ada tekanan yang tinggi. Itu memang jelas. Tetapi kami memiliki pengalaman dan kemampuan untuk mengatasi tekanan. Saya akan mengingatkan para pemain untuk tidak terlalu bersemangat dan menjaga emosi mereka.

“Dari segi statistik, kita memang tidak pernah menang melawan Indonesia di separuh akhir Piala AFF. Tetapi kita juga mampu memecahkan statistik itu. Indonesia merupakan lawan yang sukar tetapi saya yakin kami boleh menang,” ujarnya.