Pengendali PDRM FC, P. Maniam memaklumkan pasukan itu memiliki strategi berbeza bila bertemu pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Musim 2024/25 menyaksikan PDRM menjadi satu-satunya pasukan yang berjaya mencuri mata daripada Harimau Selatan. Ini selepas The Cops mengikat JDT 1-1 pada 31 Julai 2024.
Shahrel Fikri Md. Fauzi meletakkan tuan rumah di hadapan. Pemain pertahanan berdarah Sepanyol-Filipina, Oscar Arribas memastikan kedua-dua pasukan berkongsi mata dengan gol penyamaan.
Meskipun begitu, Maniam memaklumkan pasukan itu mengambil strategi berbeza kali ini. Ini kerana beliau perlu mengambil kira faktor kecergasan pemain selepas mengharungi aksi separuh akhir kedua MFL Challenge Cup.
Atas sebab itu, beliau melihat aksi menentang JDT sebagai peluang terbaik buat pemain-pemain muda yang terpilih merebut peluang dalam kesebelasan utama.
“Saya rasa JDT terlalu kuat dan saya rasa mereka satu pasukan yang cukup bagus dari segi corak permainan. Bukan mudah bila kita menentang mereka di gelanggang sendiri di Johor, agak sukar.
“Tapi tiada yang mustahil. Pemain kena yakin dan percaya mereka kena bermain sebagai satu pasukan dan menunjukkan corak permainan yang bagus bila menentang JDT,” katanya kepada Nadi Bola.
PDRM bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 5 Februari ini tanpa kelibat empat tonggak iaitu Bruno Suzuki, Kyaw Min Oo, Amir Saiful Badeli dan Bryan See.
Suzuki, Min Oo dan Amir diturunkan dalam aksi Piala MFL membabitkan PDRM dan Selangor FC pada 4 Februari lalu. Bryan pula terpaksa disisihkan akibat kecederaan.