Pemain Kelantan TRW ‘Angkat Kaki’ Atas Sebab Tertentu
MakanBola
HEIN THET AUNG

Seorang pemain telah mengambil keputusan untuk meninggalkan Kelantan TRW selepas mengharungi musim yang penuh cabaran.

Musim ini menyaksikan pasukan kendalian Akmal Rizal berdepan pelbagai halangan sebelum menamatkan saingan bagi musim 2025/26.

Keadaan ini dipercayai berpunca daripada beberapa isu luar padang, termasuk dakwaan bahawa para pemain dan pihak pengurusan Kelantan TRW tidak menerima gaji selama beberapa bulan.

Pemain yang dimaksudkan ialah Hein Htet Aung, pemain import dari Myanmar yang mula beraksi di Malaysia bersama Selangor pada musim 2021.

Menurut Hein Htet Aung, keputusannya untuk meninggalkan Kelantan TRW dibuat atas sebab-sebab tertentu, di samping menzahirkan penghargaan serta ucapan selamat maju jaya kepada pasukan tersebut.

“Disebabkan keadaan yang tidak diingini, saya tidak lagi bersama Kelantan The Real Warriors.”

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada para penyokong atas segala sokongan, dan saya mendoakan yang terbaik buat pasukan ini pada masa hadapan,” kata Hein Thet Aung menerusi satu kenyataan di laman media sosial miliknya.

Untuk rekod, beliau telah membuat 18 penampilan dalam semua pertandingan serta mencatatkan empat bantuan jaringan.