Pihak Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai isu bumbung bocor yang berlaku di Axiata Arena.
Pada Selasa, kejohanan badminton Malaysia Open 2025 membuka tirai dengan hampir seratus jaguh dunia turun beraksi di Axiata Arena bagi memburu gelaran juara.
Walau bagaimanapun, aksi di hari pertama menyaksikan beberapa perlawanan terpaksa ditangguhkan dan ditunda kerana kebocoran bumbung yang menyebabkan gelanggang ditakungi air.
Lantaran itu, PSM mengeluarkan permohonan maaf buat kesemua pihak yang terkesan dengan kejadian tersebut sehingga menyebabkan perjalanan aksi Malaysia Open terganggu.
“PSM memohon maaf kepada semua pihak terutamanya pihak penganjur dan peminat sukan badminton atas insiden kebocoran bumbung yang berlaku di Axiata Arena semalam,” ujar PSM dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut PSM, perkara ini berlaku kerana proses penggantian bumbung di Axiata Arena sedang dijalankan sejak tahun lalu oleh kerana venue tersebut sudah digunakan sekian lama.
“Masalah kebocoran pada bumbung Axiata Arena adalah kerana proses penggantian bumbung lama (sejak 1998) kepada yang baru telah dibuat pada pertengahan 2024.”
Bagi langkah persediaan, PSM telah menyediakan seramai 10 orang kakitangan untuk mengawasi keadaan di gelanggang seoanjang kejohanan Malaysia Open ini berlangsung hingga Ahad.
“PSM dan kontraktor akan menyediakan lebih 10 orang kakitangan untuk bersedia di bumbung selepas ini sepanjang kejohanan berlangsung bagi memastikan insiden ini tidak lagi berulang.”
Malaysia Open memasuki hari kedua pada Rabu dengan menyaksikan seramai 7 wakil negara bakal menggalas tanggungjawab untuk melangkah mara ke pusingan kedua.