Perak FC bakal berhijrah stadium pada bulan November ini selepas Stadium Perak dijadualkan akan menjalani kerja-kerja penaiktarafan.
Kerajaan Negeri Perak telah menerima tawaran geran daripada Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) untuk menaiktaraf sistem saliran dan rumput di Stadium Perak.
Oleh disebabkan kerja-kerja penaiktarafan tersebut, Perak kini dalam usaha untuk menjalankan perlawanan pusingan kedua Liga Super di Stadium Perbandaran Manjung.
Perkara tersebut telah dikongsikan oleh Ketua Pegawai Operasi Interim Perak FC, Bobie Farid Shamsudin dalam satu hantaran di laman Facebook, TBG Super Fan sebentar tadi.
Terkini, Stadium Perak akan menjalani proses naik taraf penukaran rumput dan saliran. Ianya akan dijalankan pada bulan November dan semua perlawanan untuk pusingan kedua liga akan diusahakan di Stadium Perbandaran Manjung.
“Ianya (kerja-kerja penaiktarafan) harus dilakukan pada tahun ini kerana Geran dari KBS harus digunakan pada tahun 2024,” kongsi Bobie di laman Facebook.
Dalam masa yang sama, Bobie turut menzahirkan kerisauan mengenai situasi tersebut kerana Stadium Manjung hanya berkapasiti 12 ribu penonton sahaja.
“Berita baik utk Stadium, berita buruk untuk kami. Dengan kapasiti 12 ribu ianya menjejaskan usaha kami untuk mencari dana untuk pasukan,” coret Bobie lagi.
Perak bakal memulakan saingan Liga Super hari ini (11 Mei) dengan bertandang ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin bagi bertemu Terengganu FC.