Perak mengumumkan pengangkutan percuma buat para penyokong yang mahu menonton aksi Liga Super berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
Pada Selasa, pihak Malaysian Football League (MFL) telah mengeluarkan kenyataan berhubung perlawanan tertunda melibatkan pasukan Perak vs JDT yang diubah venue ke SSI.
Sebelum ini, perlawanan membabitkan kedua-dua pasukan sepatutnya diadakan di Stadium Perak pada Ogos lalu namun terpaksa ditangguhkan kerana hujan lebat serta padang bertakung.
Cubaan mengadakan perlawanan berkenaan di Stadium Perak buat kali kedua pada 5 Oktober lalu kemudiannya ditangguhkan sekali lagi disebabkan oleh faktor yang sama.
Mengikut perancangan asal, aksi ini dijadualkan berlangsung di Stadium Manjung pada 10 November ini namun atas tiga faktor, Perak bersetuju untuk beraksi di SSI demi kelancaran perjalanan liga.
Oleh itu, pihak pengurusan Perak telah mengumumkan pengangkutan secara percuma buat para penyokong yang berminat untuk hadir ke SSI pada hari perlawanan tersebut.
”Perak FC dengan ini menawarkan pengangkutan percuma kepada semua penyokong The Bos Gaurus yang ingin ke SSI pada Ahad ini bagi menyaksikan serta memberikan sokongan kepada skuad kesayangan kita,” umum pihak kelab.
Penyokong yang berminat boleh menghubungi Sekretariat Perak FC dan pemegang tiket aksi tertunda sebelum ini boleh menebus tiket-tiket tersebut di kaunter yang disediakan.