Usaha Malaysia meraih kemenangan dalam Kumpulan B Piala Dunia Hoki 2026 hampa apabila diikat pasukan nombor sembilan dunia, Perancis.
Selepas tewas kepada juara bertahan, Jerman dalam aksi sebelumnya, anak buah Brendan Carolan memerlukan kemenangan jika ingin menghidupkan peluang ke pusingan berikutnya.
Gandingan Azrai Azad Abu Kamal, Norsyafiq Sumantri dan Akhimullah Anuar Esook menjadi pilihan Carolan untuk merobek gawang Perancis.
Malaysia terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Shello Silverius pada minit kelima. Gol padang pemain kelahiran Sabah itu menewaskan penjaga gol Sabah, Corentin Saunier.
Perancis kemudiannya bangkit menyamakan kedudukan menerusi pukulan penalti Victor Charlet. Kedua-dua pasukan terus memburu gol tambahan tetapi tidak berhasil.
Keadaan ini memastikan Malaysia dan Perancis terikat 1-1 sehingga rehat separuh masa.
Bersambung selepas rehat, giliran Perancis pula yang mendahului pada minit ke-37. Gol padang Louis Haertelmeyer menembusi gawang Malaysia yang dikawal Zaimi Mat Deris.
The Speedy Tigers tidak putus asa dan kembali bangkit lapan minit selepas itu. Shello sekali lagi menjadi igauan benteng Perancis dengan menyempurnakan pukulan penalti.
Tatkala perlawanan seakan berakhir dengan keputusan seri, Akhimullah meletakkan Malaysia di hadapan pada minit ke-56. Timothee Clement kembali menyamakan kedudukan buat Perancis pada minit ke-59.
Kem Malaysia menyangka mereka telah meraih kemenangan apabila Fitri Saari meledakkan gol pada minit ke-59. Walau bagaimanapun, gol tersebut dibatalkan sekaligus memastikan kedua-dua pasukan terikat 3-3 pada akhir perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan Perancis dan Malaysia masing-masing meraih satu mata selepas mengharungi dua aksi kumpulan.
Skuad negara kini berdepan tugas sukar apabila bakal menentang tuan rumah dan pasukan nombor satu dunia, Belgium pada 19 Ogos ini.