Ramai peminat hoki Malaysia merasa hairan mengapa gol kemenangan anak buah Brendan Carolan tidak dikira dalam aksi kedua Kumpulan B Piala Dunia Hoki 2026 menentang Perancis.
Aksi itu menyaksikan Malaysia pada awalnya mendahului menerusi Shello Silverius. Perancis kemudiannya menyamakan kedudukan menerusi Victor Charlet.
Louis Haertelmeyer kemudiannya meletakkan pasukan kesembilan dunia itu di hadapan pada minit ke-37. Shello sekali lagi menjadi duri dalam daging kepada Perancis dengan gol penyamaan pada minit ke-45.
Akhimullah Anuar Esook kemudiannya meletakkan The Speedy Tigers di hadapan pada minit ke-56. Timothee Clement membantu Perancis mengikat Malaysia 3-3 dengan gol pada minit ke-59.
Fitri Saari menyangka telah menjaringkan gol kemenangan pada minit sama. Walau bagaimanapun, selepas gol tersebut dirujuk untuk semakan video, gol itu dibatalkan kerana bola terkena belakang kayu hoki.
Selepas video insiden gol keempat itu disiarkan di media sosial, ramai peminat hoki merasa tidak puas hati dengan keputusan pengadil. Dua peminat bernama Sivagurupatham Vadivelu dan Azman Hassan berpandangan gol itu sepatutnya dikira.
“Memang jelas gol,” kata Azman di ruang komen Facebook Malaysia_sport. Seorang penyokong bernama Ahmadi Suien juga sependapat dengan mereka.
Ahmadi merasa hairan mengapa gol itu tidak dikira sedangkan bola tidak terkena belakang kayu hoki. “Mana ada kena belakang kayu hoki,” katanya.
Malaysia kini akan menentang Belgium untuk aksi terakhir Kumpulan B pada 20 Jun.