Ketiadaan kelibat Chrigor Moraes ketika aksi separuh akhir Piala Malaysia menentang Kuching City semalam memberi kesan kepada perancangan pasukan Selangor.
Aksi separuh akhir Piala Malaysia berkenaan menyaksikan Selangor terpaksa akur tersingkir selepas jaringan Petrus Shitembi sudah cukup untuk menghantar Kuching City ke final.
Walau bagaimanapun, Selangor turun ke Stadium Negeri tanpa penyerang utama, Chrigor Moraes dan pengendali, Kim Pan-gon yang digantung satu perlawanan akibat kad kuning.
Perkara tersebut sedikit sebanyak membuatkan perancangan pasukan tidak berjalan seperti biasa serta diakui sendiri oleh pembantu jurulatih, Lee Soonseok ketika ditemui selepas aksi semalam.
”Chrigor Moraes adalah seorang pemain yang penting buat Selangor seperti diketahui. Beliau menjaringkan banyak gol namun kami berusaha sehabis baik (beraksi) tanpa beliau,” ujar Lee Soonseok.
”Pemain lain juga berusaha dengan baik dan sudah tentu perancangan pasukan tidak normal tetapi kami mencuba sebaik mungkin di bawah pemantauan jurulatih (Kim Pan-gon).”
Tumpuan Selangor kini bakal terarah kepada pengejaran tempat kedua Liga Super dan saingan Shopee Cup yang menyaksikan pasukan Gergasi Merah akan bertemu Nam Dinh di separuh akhir.