Piala Malaysia: Tugas Mencabar Menanti Selangor
MakanBola
SELANGOR FC

Selangor berdepan cabaran getir menjelang sepak mula aksi menentang Kuching City apabila terpaksa turun tanpa dua tonggak utama pasukan.

The Red Giants yang akan bertandang ke Stadium Negeri, Sarawak bagi memburu tiket ke pentas final Piala Malaysia 2025/26 perlu akur dengan ketiadaan ketua jurulatih, Kim Pan-gon, serta penyerang prolifik, Chrigor Moraes.

Kim Pan-gon disahkan tidak akan bersama pasukan ke Kuching dan tugas beliau bakal dipikul oleh pembantu jurulatih dari Korea Selatan, Lee Soonseok.

Menurut pengulas Astro Arena, Hafizal Hamad, kedua-dua figura penting itu tidak tersenarai dalam skuad akibat pengumpulan kad kuning.

“Kim Pan-gon dan Chrigor Moraes tidak akan berada dalam senarai kerana masing-masing menerima kad kuning kedua,” jelas Hafizal dalam rancangan Nadi Bola.

Berdasarkan rekod, Kim Pan-gon dilayangkan kad kuning ketika aksi suku akhir pertama menentang Negeri Sembilan FC dan sekali lagi dalam perlawanan separuh akhir pertama menentang Kuching City di MBPJ pada 5 April lalu.

Sementara itu, Chrigor Moraes yang telah menjaringkan 19 gol musim ini turut mengumpul dua kad kuning, sekali gus menafikan khidmatnya dalam perlawanan penting di Sarawak.

Aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia 2025/26 antara Kuching City dan Selangor dijadual berlangsung pada 18 April di Stadium Negeri Sarawak, dengan sepak mula pada pukul 8.15 malam.