Advertisements
Piala Malaysia: Terengganu Lega, KL City Hadapi Saingan Hebat
Piala Malaysia
MakanBola
TFC/KLCFC

Undian Piala Malaysia 2024-2025 menyaksikan naib juara edisi lalu, Terengganu dan KL City berdepan ujian berbeza.

Terengganu muncul naib juara Piala Malaysia 2023 setelah tumbang di tangan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) di perlawanan akhir pada Disember lalu dengan keputusan 3-1.

Sementara itu KL City pula yang merupakan juara edisi 2021 menamatkan saingan Piala Malaysia musim lalu di peringkat separuh akhir apabila tumpas kepada Terengganu menerusi keputusan agregat 4-2.

Bagi musim 2024-2025, 16 pasukan termasuklah KL City dan Terengganu bakal menghangatkan saingan ditambah dengan kehadiran tiga pasukan dari Liga A1 Semi Pro yang turut serta untuk edisi kali ini.

Pada sesi undian yang berlangsung pada Isnin, Terengganu telah diundi bertemu wakil dari Liga A1 Semi Pro, Melaka FC sementara KL City pula bakal menentang Kedah Darul Aman di Alor Setar.

Sekiranya mara, KL City dijangka bakal berdepan ujian hebat oleh juara lima kali, JDT di suku akhir manakala Terengganu pula akan bertemu Negeri Sembilan atau PDRM di pusingan seterusnya.

Kempen Piala Malaysia 2024-2025 bakal membuka saingan dengan perlawanan pertama pusingan 16 pada 20 November dan tertakluk kepada perubahan oleh pihak penganjur.