Johor Darul Ta’zim (JDT) III terus memperkukuh cengkaman di persada liga Piala Presiden 2025 apabila menewaskan Terengganu FC Bawah 20 Tahun (B-20) 1-0.
Pertembungan ini dilihat penting kerana ini bukan saja membabitkan dua pasukan teratas Piala Presiden.
Malah, ini peluang buat salah satu daripada kedua-dua pasukan itu melebarkan rekod tanpa kalah mereka dalam kejohanan itu.
Terengganu B-20 berharap dapat memanfaatkan kelebihan beraksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah untuk meraih kemenangan.
Malangnya, apa yang dihajatkan anak buah Subri Sulong tidak berlaku. Sebaliknya, JDT III meraih gol pendahuluan menerusi pemain pertahanan, Aqim Hazmi Hasmadi pada minit ke-32.
Gol tersebut membolehkan anak buah Pedro Cellado Celda mendahului 1-0 sehingga rehat separuh masa.
Bersambung selepas rehat, skuad muda Peteh meningkatkan tekanan ke arah kubu pertahanan JDT III tetapi tidak berhasil.
Situasi ini mendorong Subri membuat beberapa pertukaran pemain dengan harapan dapat merealisasikan gol penyamaan.
Malangnya, perkara itu tidak berlaku. JDT III mempertahankan kelebihan gol tipis mereka sehingga wisel penamat.
Keputusan ini menyaksikan JDT III terus menerajui liga dengan 15 mata, empat mata di hadapan Terengganu B-20.
Selepas ini, JDT III akan menentang Sabah FC II pada 12 Jun. Terengganu B-20 pula akan bertandang ke Stadium Hang Tuah untuk berdepan Melaka FA pada hari sama.