Piala Presiden: JDT Tamatkan Rekod Kebal Negeri Sembilan
MakanBola
Johor Southern Tigers

Johor Darul Ta’zim (JDT) III terus mengekalkan rekod tanpa kalah mereka dalam Piala Presiden apabila menewaskan Negeri Sembilan FC 3-1.

Aksi ini menarik kerana kedua-dua pasukan masih belum tewas dalam liga. JDT III merekodkan enam kemenangan berturut-turut dengan Negeri Sembilan pula merekodkan satu kemenangan dan empat keputusan seri.

Legenda Negeri Sembilan, Norhafiz Zamani Misbah menurunkan barisan terkuat untuk mencalarkan rekod anak buah Pedro Cellado Celda.

Penjaring terbanyak skuad muda Harimau Selatan, Naim Zainudin menjadi taruhan Celda untuk merobek gawang Sang Rusa.

Separuh masa pertama menyaksikan JDT III meraih gol pendahuluan menerusi Naim seawal minit ketujuh.

Penyerang Malaysia B-19 itu menyempurnakan penalti yang menewaskan penjaga gol Negeri Sembilan, Fareez Safwan Mohd Nasir.

Tersentak, skuad muda Sang Rusa mula memberi tekanan kepada benteng pertahanan JDT III diketuai kapten, Adib Ibrahim Adnan.

Penyokong Negeri Sembilan di Stadium Mini Tampin ceria apabila Asyraaf Anwar Jufrizal meledakkan gol penyamaan pada minit akhir babak pertama.

Bersambung pada babak kedua, kedua-dua pasukan bernafsu untuk memburu gol seterusnya. Naim sekali lagi menjadi duri dalam daging kepada tuan rumah apabila meledakkan gol kedua JDT III pada minit ke-69.

Empat minit kemudian, beliau menyempurnakan hatrik sekaligus terus menerajui carta penjaring terbanyak Piala Presiden dengan sembilan gol.

Skuad muda Sang Rusa cuba bangkit tetapi keputusan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan JDT kekal bertakhta di persada liga dengan 21 mata.

Negeri Sembilan pula kini di tangga ketujuh liga dengan tujuh mata. Selepas ini, anak buah Norhafiz akan menentang KL City FC pada 22 Jun.

JDT III pula akan melayan kunjungan pasukan Lembah Klang itu di Stadium Pasir Gudang pada 26 Jun.