Advertisement
Presiden Perancis Gelar Sofyan Amrabat Pemain Tengah Terbaik Piala Dunia
Dunia
MakanBola
Squawka

Walaupun kecewa tersingkir dari separuh akhir Piala Dunia 2022 di tangan Perancis, Maghribi kalah bermaruah dengan mempamerkan semangat juang yang tinggi atas padang. Prestasi pemain-pemain Singa Atlas termasuk Sofyan Amrabat mendapat pujian ramai pihak. Bahkan, Presiden Perancis, Emmanuel Macron tidak teragak-agak menggelar pemain tengah Maghribi itu sebagai pemain tengah terbaik dalam Piala Dunia.

Hal ini didedahkan oleh wartawan bola sepak terkenal, Fabrizio Romano. Macron hadir menonton perlawanan separuh akhir Maghribi-Perancis di Stadium Al-Bayt bagi memberi sokongan kepada Les Bleus agar dapat mara ke final Piala Dunia 2022. Perlawanan tersebut menyaksikan Les Bleus menundukkan Singa Atlas 2-0 menerusi Theo Hernandez dan Randal Kolo Muani.

Kagum dengan prestasi pemain-pemain Maghribi terutama Amrabat, Macron kemudiannya turun ke bilik persalinan Singa Atlas dan bertemu dengan semua ahli kontinjen mereka termasuk jurulatih Walid Regragui. Di hadapan semua pemain dan jurulatih, Presiden Perancis itu menyatakan Amrabat sebagai pemain tengah terbaik dalam temasya kali ini.

Selepas menemui mereka, barulah Macron kemudiannya menyertai bilik persalinan Perancis yang ceria meraikan kemaraan mereka ke final. Perancis bagaimanapun perlu bekerja keras menafikan Lionel Messi dan Argentina jika mahu menjulang trofi berprestij itu pada 18 Disember ini.

Bagi Amrabat dan Singa Atlas, fokus mereka yang seterusnya ialah perlawanan penentuan tempat ketiga antara mereka dengan Croatia pada 17 Disember. Walau apapun keputusan pada hari itu, Maghribi telah mencipta memori manis buat dunia Islam, Arab dan Afrika dalam temasya Piala Dunia kali ini.

Selepas tamat kejohanan, banyak kelab dijangka mula mengintai khidmat pemain tengah Fiorentina itu menjelang musim perpindahan Januari. Tottenham Hotspur cuba mendapatkannya pada musim panas lepas tetapi tidak berhasil. Dengan prestasi mantap yang ditampilkan sepanjang Piala Dunia, Spurs perlu bersaing dengan kelab-kelab lain jika mahukan khidmat jeneral tengah Maghribi itu.