Penyerang muda Malaysia, Qaseh Rania Khairul Najib mengetuai senarai akhir Malayan Tigress Bawah 19 Tahun (B-19).
Ini selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan senarai akhir 23 pemain yang akan menghadapi Kejuaraan Wanita B-19 AFF 2025 di Ho Chi Minh City, Vietnam.
Selain Qaseh Rania, pemain yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Lauren Hoh Ruyi turut berada dalam skuad bimbingan Cameron Ng itu.
Beberapa pemain skuad senior Malayan Tigress turut berada dalam skuad kali ini. Antaranya ialah Nur Dhiyaa Addin dan S. Thivashini.
Mereka menyertai dua lagi pemain yang dilepaskan lebih awal untuk menyertai Malayan Tigress B-19 iaitu Dian Aqilah Mohammed Imran dan Rocillyeka Lole.
Malayan Tigress B-19 akan membuka kempen Kumpulan B dengan menentang Kemboja pada 9 Jun. Ini disusuli dengan aksi menentang Thailand pada 11 Jun dan Indonesia pada 13 Jun.
Sekiranya mereka berjaya mara ke separuh akhir, aksi tersebut akan berlangsung pada 16 Jun. Aksi final dan penentuan tempat ketiga pula akan berlangsung pada 18 Jun.