Advertisements
Raja Muda Johor Rasmi JDT Direct Store Raih Perhatian Peminat
Liga Super
MakanBola
Johor Southern Tigers

Kelibat Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Raja Muda Johor, Tunku Iskandar Ibni Tunku Ismail mencuri tumpuan penyokong Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) di pusat beli-belah Toppen.

Baginda berada di pusat beli-belah berkenaan untuk merasmikan pembukaan kedai cenderahati rasmi Harimau Selatan, JDT Direct Store pada 3 Oktober.

JDT Direct Store yang terletak di bahagian bumbung pusat beli-belah Toppen merupakan lanjutan daripada JDT Direct Megastore di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).

Ini membolehkan penyokong JDT yang tidak berkesempatan ke SSI boleh mendapatkan cenderamata rasmi pasukan di JDT Direct Store.

Turut mengiringi keberangkatan Tunku Iskandar ke majlis berkenaan adalah Yang Amat Mulia (YAM) Tunku Khalsom Aminah Sofiah binti Tunku Ismail.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah barisan pemain Harimau Selatan. Antara yang hadir ialah Jordi Amat, Safiq Rahim, Bergson da Silva, Park Jun-heong, Syihan Hazmi Mohamed dan Arif Aiman ​​Hanapi.

Sebaik kelibat Tunku Iskandar kelihatan, ramai yang tertarik bukan saja dengan rupa baginda yang comel. Malah, ada yang melihat baginda memiliki karisma sama seperti ayahandanya, DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.

Seorang pengguna Instagram bernama Syxfqq_02 percaya Tunku Iskandar bakal mengikut jejak langkah Tunku Mahkota Ismail. “Bakal pewaris bapanya, TMJ. Daulat Tuanku. Tampan, cantik RMJ dan Tunku Khalsom ini,” katanya di ruang komen Johor Southern Tigers.

Pandangannya turut dipersetujui seorang lagi pengguna Instagram bernama Eykalomar7_. “Bakal sambung perjalanan JDT satu hari nanti,” ujarnya.

Perasmian JDT Direct Store dilihat usaha berterusan JDT untuk meningkatkan pendapatan kewangan pasukan terutama dari segi komersial.