Raja Muda Johor, DYAM Tunku Iskandar telah merasmikan pembukaan salah satu cabang perniagaan baharu kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu JDT Viking.
Pada Jumaat, DYAM Tunku Iskandar selaku Raja Muda Johor hadir ke Stadium Sultan Ibrahim bersama YAM Tunku Abu Bakar bagi merasmikan pembukaan kedai gunting rambut kelab berkenaan yang dikenali sebagai JDT Viking.
Perkara ini dikongsikan oleh Johor Southern Tigers yang menyaksikan 2 anakanda DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor itu memotong riben sebagai simbolik perasmian kedai gunting rambut itu.
“Duli Yang Amat Mulia Tunku Iskandar Ibni Tunku Ismail, Raja Muda Johor dan YAM Tunku Abu Bakar Ibrahim Ibni Tunku Ismail merasmikan pembukaan kedai gunting rambut JDT Viking di Stadium Sultan Ibrahim pada 7 Februari 2025.”
Selain DYAM Tunku Iskandar serta YAM Tunku Abu Bakar, seramai 5 orang pemain JDT turut hadir memeriahkan majlis seperti Afiq Fazail, Alvaro Gonzalez, Park Jun-heong, Nazmi Faiz Mansor dan Romeo Morales.
Malah, pelumba JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah yang muncul pemenang ke-3 bagi Asian Road Racing Championship 2024 lalu turut dilihat berada sama di majlis tersebut.
Untuk makluman, JDT Viking merupakan salah satu strategi perniagaan kelab gergasi bola sepak tanah air tersebut selain jalinan kerjasama bersama jenama besar seperti IKEA, KFC dan Woodfire.