Ramalan Bergson Jadi Bualan Media Vietnam
MakanBola
Johor Southern Tigers

Ramalan penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva bahawa Malaysia bakal menewaskan Vietnam menjadi bualan media negara itu.

Ramalan penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Super itu dikongsikan selepas majlis Liga M Awards yang berlangsung baru-baru ini.

Bergson yang juga calon pemain naturalisasi Harimau Malaya bukan saja mengucapkan selamat berjaya kepada anak buah Tan Cheng Hoe untuk aksi separuh akhir pertama ASEAN Hyundai Cup.

Malah, penyerang berusia 35 tahun itu meramalkan Malaysia menewaskan Vietnam dalam aksi berkenaan. “Saya ucapkan selamat berjaya kepada mereka.

“Saya harap mereka menang dan mereka mendapat sokongan saya. (Malaysia menang) 2-0 atau 3-0, itu keinginan saya,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

Portal TheThao247 menyifatkan ramalan Bergson sebagai mengejutkan lebih-lebih lagi dengan mengambil kira rekod pertemuan antara kedua-dua pasukan.

Kali terakhir Harimau Malaya menewaskan Vietnam ialah separuh akhir edisi 2014 dengan keputusan 4-2. Sejak itu, Malaysia berdepan kemarau kemenangan ke atas Pahlawan Bintang Emas selama 12 tahun termasuk kekalahan pada Mac lalu.

Bergson bukan satu-satunya pemain JDT yang menzahirkan keyakinan terhadap kem negara. Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga M Awards, Afiq Fazail turut berkongsi keyakinan sama.

Meskipun terpaksa menggunakan kudrat muda susulan isu kecederaan yang membelenggu Harimau Malaya, Afiq tetap yakin dengan kemampuan anak buah Cheng Hoe.

“Para pemain muda teruja untuk mewakili negara dan mahu membuktikan diri mereka. Kita boleh tewaskan Vietnam,” katanya.

Malaysia akan turun menentang Vietnam di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada Ahad.