Johor Darul Ta’zim (JDT) berazam untuk menambah rekod kemenangan mereka ke atas Buriram United pada aksi Selasa ini.
Harimau Selatan kini hadir dengan beberapa wajah dan kehebatan baharu seperti duo bekas pemain Liga Azerbaijan, Qarabaq FK iaitu Dani Bolt & Kevin Medina, Shahab Zahedi, Carlos Akapo dan pemain warisan Malaysia, Brad Tapp.
Sebelum ini, JDT telah bertemu kelab gergasi Thailand itu sebanyak 6 kali, namun hanya berjaya mencatatkan satu kemenangan & 2 keputusan seri selain 3 kali tumpas dengan dramatik.
Pertemuan pertama kedua-dua pasukan berlaku pada peringkat kumpulan saingan Liga Juara-Juara AFC Elite (ACLE) musim 2024/25, yang berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan di Stadium Sultan Ibrahim.
Selepas itu, kedua-dua pasukan sekali lagi dipertemukan di pusingan 16 ACLE musim yang sama. Dalam perlawanan tersebut, JDT sekadar mencatat keputusan seri di tempat lawan sebelum tewas 0-1 di laman sendiri, sekali gus membuka laluan kepada pasukan yang digelar Thunder Castle itu untuk mara ke peringkat suku akhir.
Seterusnya, aksi dua gergasi Asia Tenggara ini berlangsung pada 16 September 2025 dalam aksi pembukaan ACLE musim 2025/26, yang menyaksikan JDT tewas 1-2 kepada Buriram United.
Pertemuan antara dua kelab ini diteruskan pada 6 Mei 2026 dalam aksi separuh akhir pertama Piala Shopee musim 2025/26, yang menyaksikan JDT tewas 1-2 kepada Buriram United.
Akhir sekali, pertemuan terakhir kedua-dua pasukan adalah pada 13 Mei 2026 dalam aksi separuh akhir kedua Piala Shopee musim lalu dengan menyaksikan Harimau Selatan berjaya meraih kemenangan pertama 2-1 bertemu Buriram United namun tumpas secara agregat 4-3 sekali gus memastikan kelab Malaysia itu gagal layak ke pentas final kejohanan tersebut.
Berdasarkan rekod pertemuan lalu, aksi kali ini dilihat cenderung memihak kepada pasukan Buriram United. Namun begitu, kelebihan beraksi di laman sendiri serta sokongan padu penyokong Harimau Selatan di Stadium Sultan Ibrahim dijangka menjadi faktor penting yang mampu memberi tekanan kepada pasukan lawan.
Aksi JDT vs Buriram United bakal berlangsung pada, Selasa, 15 September 2026 di Stadium Sultan Ibrahim dengan sepak mula perlawanan dijadualkan tepat jam 8.15 malam waktu Malaysia.