Pertembungan dua pasukan besar tanah air, Sri Pahang FC dan Selangor FC dalam aksi pertama pusingan 16 terbaik Piala Malaysia bakal menjadi tumpuan penyokong.
Pertembungan ini dinantikan ramai kerana kedua-dua pasukan pernah merasai nikmat menjulang Piala Malaysia. Selangor meraih kejuaraan sebanyak 33 kali dengan Tok Gajah (empat kali).
Kedua-dua pasukan berharap dapat bangkit daripada aksi sebelumnya. Merah Kuning mahu melupakan kekalahan tipis 1-0 di tangan Jeonbuk Hyundai Motors dalam saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).
Manakala Sri Pahang pula terlepas meraih tiga mata apabila diikat Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) di Temerloh pada 25 Oktober lalu.
Prestasi semasa dilihat memihak kepada anak buah Fandi Ahmad. Ini kerana pasukan itu meraih dua kemenangan, dua keputusan seri dan satu kekalahan dalam lima aksi terakhir mereka.
Manakala Selangor yang dibimbing pengendali interim, Abdi Hassan pula meraih dua kemenangan, satu keputusan seri dan dua kekalahan dalam lima aksi terakhir mereka.
Rekod pertemuan lalu menyaksikan Tok Gajah memiliki kelebihan dua kemenangan berbanding Merah Kuning (satu kemenangan) daripada lima perlawanan. Selain itu, Sri Pahang juga berjaya mengikat Selangor 1-1 dalam aksi Liga Super pada 31 Julai lalu.
Aksi pertama pusingan 16 terbaik Piala Malaysia bakal berlangsung di Temerloh pada 23 November. Ini disusuli aksi timbal balik di Stadium MBPJ pada 1 Disember.