Risto Vidakovic Akui Terkejut Direhatkan KL City
MakanBola
KL City FC

Jurulatih Serbia, Risto Vidakovic mengakui terkejut apabila pengurusan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) merehatkan beliau dengan baki tiga perlawanan.

Sebelum ini, status bekas jurulatih Lion City Sailors (LCS) itu bersama The City Boys menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penyokong.

Ini selepas beliau memberi bayangan perlawanan Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC) dan KL City di Kota Bharu sebagai perlawanan terakhirnya bersama pasukan itu.

Vidakovic turut memaklumkan statusnya bersama KL City hanya akan diketahui apabila pasukan itu kembali ke Lembah Klang.

Kini, jurulatih berusia 57 tahun itu mendedahkan keputusan pasukan itu merehatkan beliau dibuat pada 10 April lalu dan dihantar menerusi aplikasi WhatsApp.

Surat berhubung keputusan pengurusan KL City itu juga telah dihantar kepada peguam Vidakovic. Beliau menyifatkan keputusan itu sebagai pelik memandangkan Liga Super masih mempunyai baki tiga perlawanan.

“Saya menunggu penjelasan daripada kelab kerana kami hanya bertanya sebab (keputusan itu dibuat).

“Apa sebab saya mendapat cuti pentadbiran sehingga akhir musim kerana hanya tinggal tiga perlawanan dan saya menunggu penjelasan daripada kelab.

“Jadi sekarang, saya tidak boleh bekerja, saya tidak boleh menghadiri latihan, saya tidak boleh pergi ke (stadium) pada hari perlawanan, jadi saya hanya menunggu. Saya sedang bercuti,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.

Sepanjang bersama KL City, beliau membimbing kelab itu meraih 15 kemenangan daripada 29 perlawanan musim ini.

KL City turut merekodkan catatan mata sebanyak 42 mata dalam Liga Super. Catatan mata itu merupakan yang tertinggi pernah direkodkan sejak musim 2021.