Bakal penyerang Harimau Malaya, Rodrigo Holgado dilaporkan akan menyertai kem latihan skuad kebangsaan kendalian Peter Cklamovski pada Selasa.
Perkara tersebut dikongsikan oleh wartawan terkenal di Colombia, Pipe Sierra dalam satu hantaran di laman X.
Sierra turut mendedahkan segala dokumentasi berkenaan dan tiket penerbangan sudah dihantar kepada Holgado untuk membantu skuad Malaysia pada aksi Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun ini.
“Pasukan Kebangsaan Malaysia telah pun menghantar semua dokumentasi dan tiket untuk Rodrigo Holgado untuk berlepas esok bagi menyertai skuad kebangsaan.
“Penyerang América de Cali itu dijangka tiba pada hari Selasa di kem latihan pasukan kebangsaan,” kongsi Pipe Sierra di laman X.
Sebelum ini, MakanBola melaporkan kelibat Holgado dalam aksi bertemu Vietnam masih tidak dapat dipastikan lagi namun Cklamovski berharap semua pemain yang menyarung jersi skuad kebangsaan akan menjadikannya sebagai satu kebanggaan.
Penyerang kelahiran Argentina berusia 29 tahun itu baru sahaja selesai tugasan bersama kelabnya America de Cali pada Ahad dan dijangka akan berlepas ke Malaysia dalam masa terdekat.