Legenda Muay Thai, Rodtang Jitmuangnon mengakui merasa kagum apabila bertemu dengan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Hal itu dinyatakan jaguh berusia 29 tahun itu dalam satu hantaran di Instagram. Pertemuan kedua-dua figura itu berlaku di Masjid Bandar Baru Ampang selepas solat Jumaat pada 27 November lalu.
Rodtang menyifatkan pertemuan dengan Anwar sebagai satu penghormatan buat dirinya. Beliau juga mendedahkan hasrat bertarung di Malaysia pada masa akan datang jika diberi peluang berbuat demikian.
“Ia satu penghormatan untuk menghadiri solat Jumaat bersama Perdana Menteri Malaysia. Terima kasih atas peluang bertemu dengan beliau dan saya harap saya ada peluang bertarung di Malaysia pada masa akan datang,” katanya.
Kenyataan Rodtang dilihat merujuk kepada potensi pertarungan ONE Championship diadakan di Malaysia. Malah, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ONE Championship, Chatri Sityodtong juga tidak menolak kemungkinan mengadakan pertarungan kejohanan itu buat kali pertama di Malaysia.
Rodtang berada di Malaysia bagi memeriahkan saingan BSP Grand Prix Muaythai 2026. Beliau dijangka beramah mesra dengan peminat menerusi sesi perjumpaan dan ramah mesra.
Rodtang juga bakal memberi sokongan kepada adik iparnya, Zafeeta Looksaikodin. Zafeeta bakal berentap dengan jaguh Malaysia, Rab Head Hunter pada 28 November.


