Penyerang kebangsaan, Romel Morales mengakui puas kerana membantu Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) meraih kemenangan berharga 2-1 ke atas Kedah Darul Aman FC (KDA FC) baru-baru ini.
Aksi separuh akhir pertama Piala FA 2024 menemukan JDT dan Kedah di Stadium Darul Aman pada 19 Julai lalu.
JDT mendahului menerusi pemain sayap Filipina-Sepanyol, Oscar Arribas. Kedah kemudiannya menyangka mendapat talian hayat menerusi pemain tengah Bahrain, Habib Haroon.
Walau bagaimanapun, Morales muncul wira dengan meledakkan gol kemenangan pada minit akhir perlawanan.
Penyerang berusia 26 tahun itu cukup puas kerana dapat memberi sumbangan bermakna kepada Harimau Selatan. Dan Morales percaya sokongan penyokong di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) akan memberi kelebihan untuk aksi separuh akhir kedua nanti.
“Helo, penyokong JDT. (Gol) ini untuk anda. Kami akan terus memberi 200% dan kami akan memuktamadkannya di gelanggang sendiri (SSI).
“Kami akan beri yang terbaik dan kami juga perlukan sokongan anda. Terima kasih kerana bersama kami sepanjang masa. Kami akan lakukan yang terbaik. Luaskan kuasamu Johor!” katanya menerusi satu video yang dimuat naik di platform Johor Southern Tigers.
Sejak menyertai JDT dari KL City FC, Morales sudah merekodkan enam gol dalam Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/25.
Harimau Selatan dan Sang Kenari akan berentap buat kali kedua di SSI pada 3 Ogos ini bagi menentukan pasukan mana layak ke final.