Advertisement
Ronaldo Dibenarkan Tinggalkan Al-Nassr
Dunia
MakanBola
Fabrizio Romano

Walaupun telah sah menyertai Al-Nassr, cita-cita Cristiano Ronaldo untuk menambah koleksi gol Liga Juara-Juara Eropah (UCL) masih membara. Dan jika benar laporan akhbar ini, hajat bekas penyerang Manchester United itu untuk menambah koleksi gol UCL dijangka dapat direalisasikan.

Mengikut laporan Marca, Faris Najd bersedia membenarkan Ronaldo meninggalkan kelab secara pinjaman dengan syarat Newcastle United layak secara merit ke UCL musim depan. Ketika ini, Magpies menduduki tangga ketiga EPL di belakang Manchester City.

Selepas diambil alih oleh Dana Pelaburan Awam Arab Saudi (PIF) pada Oktober 2021, pelaburan besar yang dibuat menukar mereka daripada pasukan yang bergelut dengan penyingkiran kepada pencabar slot kelayakan Eropah.

Di atas kertas, kehadiran Ronaldo dijangka memantapkan lagi bahagian serangan Magpies. Ketika ini, barisan serangan mereka terdiri daripada Callum Wilson, Chris Wood dan Alexander Isak. Selain itu, ini dapat membantu legenda Portugal itu menambah koleksi gol UCL sebanyak 140 gol.

Tetapi mampukah Ronaldo mengenepikan ego dan mematuhi semua arahan jurulatih Eddie Howe semasa dipinjamkan ke Magpies? Ini kerana sejak dari awal lagi, Howe amat menekankan aspek kerja berpasukan termasuk membabitkan pemain-pemain yang tidak diturunkan.

Atas sebab ini juga, Newcastle tidak mengejar Ronaldo sebaik kontraknya ditamatkan secara bersama dengan Manchester United pada November lepas.

Jika aspek ini gagal difahami Ronaldo, maka tidak mustahil perpindahan pinjaman yang dicanang mengikut klausa kontraknya itu bakal mengulangi mimpi ngeri musim keduanya di Old Trafford.